Hari raya kali ni Papa
berkesempatan berjumpa dengan kawan-kawan lama dan juga bekas-bekas guru. Rasa sungguh bermakna raya kali ni. Setelah sekian lama Papa asyik
tangguh-tangguh nak pergi menjejak kembali ke tempat Papa dibesarkan, akhirnya
Papa kembali juga ke sana. Rasanya lebih
10 tahun jugak tak jejak tempat tu.
Banyak perubahan yang Papa tengok.
Sekolah rendah Papa pun dah bukan papan lagi, dah ada macam-macam tempat
nak pergi shopping. Tesco, Econ Save,
AEON dan macam-macam lagi dah naik.
Jalan pun dah besar. Kalau dulu
taman Papa tu rasa besar sangat, sekarang rasa kecik sangat-sangat. Mungkin sebab dah banyak rumah kedai dan
rumah-rumah baru dah naik. Kalau dulu
lalang dan semak jer. Faktor-faktor pembangunan
yang membuatkan jarak terasa dekat walaupun pada hakikatnya sama jer kan?
Papa berkesempatan singgah di sebuah
masjid di dalam kawasan taman tempat Papa dibesarkan. Nostalgia memghambat Papa. Dulu-dulu, di taman ini tiada masjid, yang
ada hanyalah surau kayu. Papa masih
ingat lagi, tempat wuduk di bawah, lepas tu kena naik tangga untuk solat di
atas. Kat bawah surau tu ada satu dewan
besar yang setiap hujung minggu dijadikan kelas untuk budak-budak belajar Fardu
Ain. Surau tu ada beduk, diketuk setiap
kali sebelum azan dilaungkan. Kami
budak-budak ni kadang-kadang berebut-rebut nak ketuk beduk tu. Di surau itulah Papa belajar Fardu Ain,
mengaji, ikut ayah Papa pergi tarawih dan sebagainya. Tapi biasanya bagi kami budak-budak ni, pergi
sana belajar ke, sembahyang ke selalu jadi perkara kedua, perkara utama ialah
jumpa kawan-kawan dan bermain. Bising
jadinya surau tu. Teringat akan seorang
pak cik yang selalu marah kami kalau kami buat bising. Kami selalu kutuk pak cik tu sebab anak dia
pun sama nakal macam kami. Kenangan,
kenangan dan kenangan.
Balik semula kepada cerita masjid
tadi. Papa masih ingat masjid itu dibina
semasa Papa sudah berpindah ke tempat lain.
Masa tu Papa dalam form 3 kalau tak silap. Masjid itu dibina pada dasarnya sebagai ganti
surau lama (surau papan tadi). Pada
awalnya, statusnya ialah surau tapi telah dinaik taraf ke masjid mungkin
sekitar 3-4 tahun yang lalu.
Semasa Papa keluar dari masjid
itu setelah selesai solat Asar, Papa terserempak dengan seorang yang boleh
dikatakan tua. Tapi masih sihat
nampaknya. Peramah juga, dok cerita
pasal puasa sunat syawal, dsbnya. Tetiba
Papa teringat dan bertanya, “Ni Ustaz T**** ke?”. Tak syak lagi, dialah Ustaz Papa masa
kecil-kecil dulu. Papa hampir tak kenal
sebab fizikalnya yang sudah agak kurus berbanding dirinya yang agak gempal
waktu muda-muda dulu. Jadi saya
yakinlah, Ustaz ni lah yang menjaga masjid ini sebab sepanjang yang Papa tahu,
dialah yang rajin mengendalikan hal surau dan keagamaan di taman itu sejak
dulu.
Dia bagitau Papa yang surau ni
dah naik taraf jadi masjid. Dengan penuh
bangga dia bercerita. Yelah dia antara
orang kuat semasa pembinaan surau baru yang kemudian dinaik taraf jadi
masjid. Mesti dia bangga dan
seronok. Macam yang Papa kata sebelum
ni, sepanjang pengetahuan Papa dialah orang kuat surau.
Then dia sambung cerita, “Sayang
ayah kau dah pindah masa surau ni tengah buat”, katanya. Ayah saya ialah orang lama juga di taman itu,
seorang cikgu. So ramai juga la yang
kenal. Untuk pengetahuan kamu, ayah
kamulah antara pengasas surau di taman ini.
Masa taman ni takde surau, ayah kamu yang bagi cadangan supaya kita sewa
dulu mana-mana rumah untuk dijadikan surau sementara. Masa kami dah berjaya dapat tapak surau, ayah
kamu juga yang tolong dari segi tenaga masa pembinaan surau lama tu. Tapak masjid ni pun ayah kamu salah seorang
yang fight.
Papa jadi terharu. Papa tak pernah tahu. Ayah Papa tak pernah cerita. Mungkin dia ikhlas semasa melakukannya. Apa-apa pun terbit rasa syukur di hati Papa. Paling tidak Papa tahu ada sesuatu yang boleh
dijadikan syafaat oleh ayah Papa semasa di akhirat kelak. Itu saham akhirat dia. Bagaimana pula dengan saham akhirat
Papa? Sudah cukup kah saham kita di
akhirat?
Ya Papa solat, tapi Papa tak tahu
tahap solat Papa setakat mana. Ye Papa
puasa, tapi sebanyak mana pahala puasa Papa.
Dalam kita menjalani kehidupan seharian, berapa banyak dosa kita pungut
dan berapa banyak pahala kita dapat?
Tahukah kita? Tahukah kita
timbangan kita kelak menyebelahi pahala atau dosa? Kita perlu cari sebanyak mungkin saham
akhirat. Papa seru agar kita cari
peluang untuk mendapat saham akhirat.
Sumbangan sikit atau banyak bukan ukuran. Wang ringgit atau tenaga bukan penentu. Tapi keikhlasan yang lebih penting. Mari kita sama-sama intai peluang itu.